Monday, June 19, 2006

ANUGERAH ERA 2006

Oleh Nor Fadzilah Baharudin
Anugerah Era yang telah diadakan sebanyak lima kali sentiasa mengundang kontroversi. Ada saja keputusannya yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.
Buat kali keenam, Anugerah Era 2006 (AE’06) akan diadakan pada 9 September depan pukul 8.30 malam di Stadium Putra, Bukit Jalil. Ia akan disiarkan secara langsung di Astro Ria dan radio Era oleh penaja rasmi utama DiGi.
Belum pun bermula, baru sahaja Era mengumumkan calon-calon yang tersenarai bagi kategori-kategori tertentu untuk undian peringkat pertama, ia telah menimbulkan tanda tanya.
Misalnya, 12 kategori yang dipertandingkan pada tahun ini memperlihatkan kebanyakan nama baru dan juga nama-nama besar dalam industri seni tersenarai. Tetapi nama pemenang tahun lepas bagi Vokal Lelaki Pilihan, Anuar Zain tidak tercalon walaupun dalam satu kategori.
Menurut Pengurus Rancangan ERA, Rostam Zulkhairi Said, setiap artis tercalon berdasarkan kepada lagu-lagu yang diputarkan oleh radio Era dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
“Pemilihan artis yang tercalon berdasarkan kepada lagu-lagu yang diputarkan dari 1 Jun 2005 hingga 31 Mei lepas.
“Memang lagu-lagu Anuar seperti Semua Untukmu dan Mungkin diputar oleh radio Era sepanjang tempoh waktu itu tetapi lagu tersebut telah dicalonkan pada tahun lepas dan kerana itu ia tidak layak dipertandingkan pada tahun ini,” kata Rostam pada majlis sidang media pertama AE’06 di Ibiza, Modesto, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pencalonan Mawi
Anugerah Era 2006 masih mengekalkan 12 kategori yang sama seperti tahun lalu, iaitu Vokal Lelaki Pilihan, Vokal Wanita Pilihan, Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan, Lagu Rock Pilihan, Lagu Pop Pilihan, Irama Global Pilihan, Lagu Nasyid Pilihan, Artis Inggeris Tempatan Pilihan, Muzik Video Pilihan, Artis Harapan Pilihan, Band Pilihan dan Pilihan Kaki Wayang.
Pencalonan peringkat pertama telah memperlihatkan Raja SMS, Mawi mendominasi tujuh kategori. Antaranya Artis Harapan Pilihan, Vokal Lelaki Pilihan, Irama Global Pilihan dan Video Muzik Pilihan.
Siti Nurhaliza sekadar mendapat tiga pencalonan iaitu Vokal Wanita Pilihan, Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan dan Lagu Pop Pilihan.
Undian peringkat pertama Anugerah Era bermula pada 15 Jun dan akan berakhir pada 15 Julai depan. Undian boleh dibuat melalui laman web era ataupun dengan mendapatkan borang undian daripada Skuad ERA Avanza.
Sementara itu, menurut Ketua Program Melayu Astro, Rozina Aziz, tema tahun ini ialah Fesyen Dalam Muzik.
“Kami telah memilih fesyen sebagai tema kali ini. Tetapi secara khususnya kami memilih Denim dan Kulit sebagai highlight AE’ 06 nanti.
“Sempena dengan AE’06 juga dua konsert akan diterbitkan. Konsert Pra Anugerah Era 2006 yang memaparkan persembahan daripada finalis-finalis AE’06 akan disiarkan pada 28 Ogos dan 2 September.
“Bagi penutup AE’ 06 pula, Konsert Gemilang Anugerah ERA akan disiarkan pada 16 September,” kata Rozina.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Rangkaian ERA, Azrullah Mohd. Nor dan Ketua Pemasaran DiGi, Yohani Yusof.

Penyanyi berang kerana bil rawatan


KHAMIS lalu Kak Tim menerima satu panggilan daripada seseorang yang bercerita tentang seorang penyanyi yang begitu berkira mahu membayar bil rawatan hospital seorang ahli keluarganya.
Menurut si pemanggil, penyanyi popular ini marah-marah apabila mendapat tahu bil rawatan itu sudah mencecah ratusan ribu ringgit.
Kata si pemanggil, “Kalau dalam TV atau majalah nampak penyanyi ni baik budi bahasanya dan mesra alam. Tapi bila berdepan dengan para petugas di pusat perubatan itu, tak pernah nak senyum.
“Baru-baru ini dia berang bila dapat tahu bil rawatan tu mencecah hampir RM160,000. Dia minta kami keluarkan bil sebab dia kata nak buat rujukan di unit tafsiran.
“Penyanyi tu kata, dia tidak ada duit nak bayar bil sebanyak itu dan hanya mampu membayar RM20,000!
“Hai takkanlah awak terkenal sebagai penyanyi yang paling kaya ketika ini tidak mampu untuk membayar bil sebanyak itu. Mungkin si penyanyi tu lupa bahawa ahli keluarganya itu sudah duduk di ICU selama hampir dua bulan dengan dua kali pembedahan. Bayaran rawatan sehari untuk ICU ialah RM600.
“Memandangkan kesihatan ahli keluarganya itu masih belum stabil, doktor meramalkan bil rawatannya mungkin boleh mencecah sehingga RM400,000!” kata si pemanggil.
Kak Tim: Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Selamat Hari Bapa!

Thursday, June 08, 2006

Mawi: Thierry Henry pemain bola sepak terhebat

05-06-2006 11:29:38 AM
ALOR STAR: Penyanyi sensasi Mawi mengagumi kehebatan pemain bola sepak Perancis, Thierry Henry.

“Henry 'world',” ujar bintang Akademi Fantasia ini yang sememangnya terkenal dengan trademark "world".


Mawi juga tidak ketinggalan mempunyai pasukan kegemarannya untuk Piala Dunia akan datang

Menurut Mawi, jika dia adalah salah seorang jawatankuasa pemilihan, tentunya Henry akan dipilih sebagai pemain bola sepak terhebat.

"Henry adalah yang terbaik," katanya merujuk kepada penyerang pasukan Perancis itu yang telah dua kali dicalonkan sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA dan dinobatkan sebagai naib juara pada tahun 2003 dan 2004.

Namun, kata Mawi, dia tidak akan menyokong pasukan Henry iaitu Perancis, di dalam Piala Dunia akan datang.

"Dua pasukan pilihan saya adalah Holland dan Portugal," katanya selepas membuat persembahan sempena Fiesta Sukma di Menara Alor Star Sabtu lepas.

Tambahnya, dia akan terus setia kepada pasukan-pasukan yang sentiasa disokongnya sejak zaman kanak-kanak lagi.

"Hingga sekarang pun, bila saya bermain bola sepak dengan PlayStation, saya akan pilih Holland dan Portugal. Apabila saya pilih dua pasukan tersebut menentang antara satu sama lain, Portugal selalu menang.

"Tapi, saya harap biarlah Holland yang menang dalam perlawanan yang sebenarnya nanti," ujar Mawi.

Penyanyi ini akui sentiasa menyokong Holland disebabkan oleh jersi berwarna oren pasukan itu.

"Bagi saya warna tersebut mempunyai kontras. Jersi berwarna oren dan padang yang hijau, memang sangat menarik," katanya.

Pemain-pemain Holland yang menjadi pilihan Mawi adalah Ruud Van Nistelrooy, Dirk Kuijt dan Robin Van Persie.

Manakala pemain-pemain Portugal yang disukainya adalah Luis Figo dan Gonzales Blanco.

Mawi rakam album lagu Arab

JOHOR BAHRU: Bintang Paling Popular 2005, Asmawi Ani atau Mawi akan berlepas ke negara Timur Tengah untuk berduet dengan beberapa artis terkenal dari rantau itu bagi merakamkan album berbahasa Arab.
Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management (Maestro), Freddie Fernandez, berkata pihaknya sedang mengenal pasti artis dan syarikat rakaman dari negara Syria, Jordan, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang boleh berpadu suara dengan Mawi.Beliau berkata, Juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu sepatutnya berlepas ke rantau berkenaan bulan lalu tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan kesihatan bapanya, Ani Ahmad yang diserang sakit jantung."Kita menghubungi beberapa pihak di negara Timur Tengah dan cadangannya ialah mengadakan kerjasama untuk menerbitkan album bagi membolehkan Mawi berduet dengan penyanyi negara itu."Mawi akan ke negara berkenaan dalam masa terdekat ini. Ini adalah strategi kita bagi mempromosi populariti Mawi dan cuba menembusi pasaran di Timur Tengah," katanya selepas membentangkan kertas kerja `Celebrity Endorsement Betting On The Home Favorite' sempena 3rd Malaysian AdCongress di sini semalam.Katanya, pasaran industri muzik di rantau Timur Tengah adalah besar dan perkembangan itu memberi potensi kepada Mawi untuk mempromosi popularitinya dan cuba menembusi pasaran antarabangsa."Muzik mereka mempunyai unsur muzik Islam dan Mediterranean, pop dan latin dan kita dapati ianya sesuai dengan Mawi. Album yang akan dihasilkan nanti adalah untuk pasaran tempatan dan Timur Tengah," katanya.Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha membawa Mawi meneroka pasaran Indonesia.Justeru, beliau dan Mawi akan menemui komposer dari republik itu bagi membincangkan rancangannya itu dalam beberapa bulan akan datang.Katanya, ramai artis Malaysia yang berjaya bertapak di Indonesia seperti Siti Nurhaliza, Search, Slam, Exist sekali gus mengukuhkan populariti dan pengaruh mereka ke dalam industri muzik negara itu."Usaha kita membawa Mawi ke Timur Tengah dan Indonesia adalah untuk meneroka pasaran antarabangsa dan kita yakin beliau boleh mengorak langkah lebih jauh dalam bidang muzik," katanya.Selain itu, Freddie berkata, Mawi juga dijangka akan menjadi duta bagi satu lagi produk baru dalam tempoh terdekat ini sekali gus menjadinya beliau antara artis tempatan yang paling banyak menerima tawaran sedemikian.Katanya, setakat ini, Mawi sudah menjadi duta kepada sembilan syarikat bagi memasarkan produk masing-masing termasuk Canon, M Mobile, Power Root, Mamee, Hotlink dan Menara Kuala Lumpur.

Sembang Sabtu: Lagu Mawi pengubat rindu Ina


HANYA lagu dan telefon bimbit menjadi pengubat rindu Nor Diana Mohd Naim (gambar) terhadap tunangnya, Asmawi Ani atau Mawi yang dinobatkan Bintang Paling Popular 2005.
Jarak 480 kilometer (Kota Tinggi – Kuala Lumpur) dan waktu, menjadi penghalang dua insan ini bertemu, apa lagi mereka mempunyai tanggungjawab serta terikat dengan jadual kerja yang menambahkan kesukaran untuk mengubat rindu.Kini, hanya lagu Mawi menjadi pengubat kerinduan Nor Diana yang lebih mesra dengan panggilan Ina. Setiap hari dia tidak pernah lupa mendengar lagu tunangnya, terutama ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.Ada kala jika hati terlalu rindu, telefon bimbit teman setianya melepaskan kerinduan dan kebosanan terutama jika bekerja syif malam. Antara banyak lagu Mawi, Kian dan Cinta Hakiki bagaikan tersimpan maksud tersirat. Setiap kali mendengar lagu itu, hatinya menerawang jauh.“Ina pun tidak tahu kenapa lagu Kian seperti ada kaitan dengan kisah percintaan kami,” kata Ina ringkas kepada penulis ketika dalam perjalanan ke Tanjung Leman untuk sesi fotografi. Dua minggu lalu, jarak 480 kilometer yang memisahkan mereka diredah Ina sekeluarga. Kegelapan malam tidak dihiraukan. Ina gagah memandu dari Kota Tinggi ke Kuala Lumpur untuk menziarahi bapa Mawi, Ani Ahmad yang terlantar di Institut Jantung Negara (IJN).Hasrat untuk bertemu Ani Ahmad atau Pak Atan tidak kesampaian kerana hanya keluarga terdekat dibenarkan menemui pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU). Selepas meminta belas ihsan pihak hospital, hanya bapa Ina, Mohd Naim Samijan dibenarkan masuk, itu pun tidak sampai lima minit.Seakan mengerti kesalahannya, Mawi muncul juga di rumah bapa saudara Ina pada keesokan harinya sambil memohon maaf kerana tidak menemui Ina dan keluarganya.

Maestro tak campur hal peribadi Mawi

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
HAMPIR setahun Bintang Paling Popular 2005, Asmawi Ani melayari kehidupan sebagai anak seni, pihak pengurusannya iaitu Maestro Talent & Management (Maestro) yakin dia sudah mampu mengendalikan masalah peribadinya dengan baik.
Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez, berkata mereka tidak pernah mencampuri urusan peribadi penyanyi itu, sebaliknya menyerahkan kepada Mawi untuk menyelesaikan sendiri perkara itu tanpa mengguris hati mana-mana pihak.“Ia hal salah faham. Mungkin dulu pihak Maestro terpaksa campur tangan kerana Mawi masih terlalu baru dan belum mahir menjawab soalan dengan baik. Tetapi, sekarang Mawi sudah banyak berubah.“Maestro hanya bersuara apabila diminta untuk menerangkan dengan lebih jelas perkara berkaitan perancangan kariernya. Tetapi, kalau membabitkan isu peribadi, Maestro tidak berhak campur tangan,” katanya.Bagaimanapun Freddie berharap, pihak media tidak berterusan menyalahkan kakitangan Maestro kerana sebagai tulang belakang, mereka berperanan membimbing penyanyi itu supaya tidak tersasar ketika mengeluarkan kenyataan.“Media harus memahami keadaan Mawi di mana dia perlu menjaga hati semua pihak. Kami tidak mahu sikap tidak berhati-hatinya ketika memberi kenyataan akan menyebabkan ada pihak yang terluka.“Namun, ingin saya tegaskan Maestro tidak pernah masuk campur urusan peribadi Mawi. Kami tidak boleh bercakap banyak kerana tidak mahu dipersalahkan jika ada apa-apa yang kurang menyenangkan terjadi,” katanya.Freddie berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pihak media yang tidak berpuas hati terhadap layanan kakitangan Maestro hingga menimbulkan kesukaran untuk mendapatkan komen Mawi, terutama membabitkan perkara peribadinya.Katanya, sebagai sebuah syarikat pengurusan, Maestro ingin memastikan artis naungannya menjalin hubungan yang baik dengan pihak media. Bagaimanapun, katanya, pihak media juga harus bersikap adil dan menghormati pendirian Mawi yang enggan kisah peribadinya terlalu digembar-gemburkan.Freddie juga berkata, Maestro sentiasa memberi kebebasan kepada Mawi serta tunangannya, Nor Diana Mohd Naim atau Ina dan keluarga untuk menjelaskan status sebenar hubungan mereka jika ditanya.“Mereka bebas untuk bersuara dan Maestro tidak pernah meminta Mawi atau Ina berdiam diri,” katanya. Namun, kata Freddie, apabila kisah peribadi mereka diperbesarkan, Maestro ada memberi nasihat kepada Mawi supaya tidak terlalu banyak memberi kenyataan.“Kami tidak mahu kerana salah memberi komen akan menimbulkan pendapat dan masalah lain,” katanya.Ketika ini, katanya, sebagai artis baru Mawi masih memerlukan bimbingan dan Maestro berperanan untuk merencana perjalanan karier artis itu supaya berjalan lancar serta memuaskan hati semua pihak.“Berilah ruang kepada Mawi untuk memfokus karier seninya yang baru bermula. Maestro sendiri sentiasa memantau perkembangan Mawi kerana ingin melihat masa depannya bersinar terang,” katanya.

Edisi Nasional : 'Bukan klon saya'


Oleh Manan Samad
PUTRAJAYA: “Latar belakang kami mungkin sama, tetapi masing-masing ada cara tersendiri. Terpulang kepada peminat untuk menentukan siapa yang paling layak bergelar juara AF4,” kata Mawi mengenai pendapat kononnya Mohammad Faizal Ramly atau Faizal adalah klonnya.Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani adalah juara Akademi Fantasia 3 tahun lalu, dikatakan mempunyai aura tersendiri walaupun bakat tarian dan nyanyiannya masih diragui.Seperti Mawi yang berasal dari luar bandar iaitu Felda Taib Andak, Kulai, Johor, Faizal pula anak kelahiran Marang, Terengganu - kawasan yang kebanyakan penduduknya adalah nelayan.Aura Faizal tidak boleh diperlekehkan malah dia kini mengungguli carta undian khidmat pesanan ringkas (SMS) menjelang konsert kedua AF4 Sabtu ini.Kata Mawi, dia pernah berjumpa Faizal di pejabat M Mobile baru-baru ini dan mendapati peserta itu mempunyai gaya tersendiri.“Gaya dan cara bukan boleh dibuat-buat. Nasihat saya kepada Faizal dan juga peserta lain, jadilah diri sendiri...jangan tiru orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.Pada konsert pertama, Faizal membawakan lagu Ingin Tahu. Permainan matanya yang nakal dan tona suara tersendiri meletakkan Faizal sebagai antara peserta pilihan penonton.Pendapat pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie terhadap Faizal ketika konsert pertama juga menampakkan seolah-olah peserta itu mempunyai persamaan dengan peserta musim terdahulu, terutama Mawi.“Ni sorang lagi macam...,” katanya sambil mengakui peserta itu membawa lagu dengan baik.Astro mungkin tidak mengakuinya, tetapi AF4 tampak ada persamaan dengan musim sebelumnya.Ini kerana, peserta dari Membakut, Lotter P Edwin Edin yang kini menduduki tempat kedua mempunyai pakej lawak dan bersahaja mirip naib juara musim lalu, Felix, selain kedua-duanya berasal dari Sabah.Malah, jika dilihat daripada komen peminat di ruangan sembang Channel 15, Astro, Faizal dan Lotter tampak mempunyai ramai penyokong.

Dunia Mawi: Tunaikan tanggungjawab

ASSALAMUALAIKUM. Bermula Khamis lalu, jadual seni saya semakin padat dengan adanya program mempromosikan album Doa, Berzanji dan Qasidah Berlagu di seluruh tanah air.Sebagai pembuka tirai, Pulau Pinang menjadi destinasi pertama promosi bergerak ini.Selepas memenuhi undangan ke majlis berzanji di Masjid Al-Badawi, Kepala Batas, Khamis lalu, saya ke Bukit Jambul untuk mempromosikan album.Mengikut rangka promosi, saya akan menemui peminat di beberapa lokasi pilihan seperti Alor Star, Sungai Petani, Ipoh, Seremban, Melaka, Kulai dan Pasir Gudang sepanjang bulan ini. Harapnya dengan adanya promosi bergerak ini dapat melonjakkan lagi jualan album Doa, Berzanji dan Qasidah Berlagu.Dalam pada itu, promosi bergerak ini juga menjadi medan pertemuan saya dengan peminat yang banyak memainkan fungsi menaikkan nama saya dalam industri.Saya akan pastikan peminat berasa dekat dengan saya, walau di mana mereka. Hanya dengan cara ini saya dapat menghargai usaha mereka selama ini.Alhamdulillah, album ini diterima ramai. Saya difahamkan, jualan setakat ini mencecah 107,000 unit. Semua ini berkat sokongan ramai, terima kasih daun keladi kerana tetap setia menyokong produk saya.Minggu ini saya ingin berkongsi pengalaman menjadi orang pertama (bersama Siti Nurhaliza) membayar cukai melalui internet.Dengan adanya teknologi di hujung jari ini, urusan pembayaran semakin mudah. Justeru, tiada alasan lagi untuk mengelak.Kaedah ini sesuai digunakan sesiapa saja, terutama mereka yang sibuk dan tidak suka beratur di depan kaunter.Pada kesempatan ini saya menyeru orang ramai supaya melunaskan tanggungjawab yang satu ini. Semua wang yang dihulurkan akan digunakan untuk pembangunan negara.Fikirkan kemudahan infrastruktur yang bakal kita dan generasi seterusnya nikmati. Jangan sesekali sempitkan fikiran dengan memandang ringan perkara ini.Menyentuh perkembangan abah, keadaannya semakin stabil, namun masih ditempatkan di unit rawatan rapi. Abah sudah sedar, boleh tersenyum dan membaca akhbar.Pun begitu, dia belum boleh bercakap kerana lehernya baru ditebuk minggu lalu. Insya-Allah sedikit masa lagi, abah boleh berbual dengan kami seperti biasa.Sepanjang ketiadaan saya, abah akan dijaga oleh adik dan abang ipar saya.Kakak saya masih menuntut di maktab dan akan menjenguk abah di hospital setiap hujung minggu.Empat hari lalu, emak yang ditemani sepupu saya berangkat ke Makkah untuk mengerjakan umrah.Sepatutnya abah turut serta, namun apakan daya keadaan tidak mengizinkan. Abah masih terlantar di hospital dan perlu mendapatkan rawatan sehingga benar-benar sembuh. Apapun, saya lega kerana hajat yang sudah lama saya tersisip di hati termakbul juga akhirnya.Doa saya, mudah-mudahan kunjungan emak ke kota suci diberkati dan dirahmati Allah. Saya mahu melihat emak pulang ke tanah air dengan senyuman manis terukir di bibirnya.Mungkin bukan rezeki abah kali ini, tetapi insya-Allah jika dimurahkan rezeki saya akan bawa abah mengerjakan umrah selepas sembuh kelak.Sebelum berundur, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terpilih dalam Akademi Fantasia (AF) 4.Bagi yang tidak berjaya, jangan putus asa, mungkin ada rezeki di tempat lain.Melalui pemerhatian saya dalam Konsert Prelude, semua boleh menyanyi dengan baik, tetapi sudah menjadi adat pertandingan ada yang bernasib baik dan ada yang tidak.Sekali lagi kepada mereka yang tidak berjaya, bukan bermakna anda tidak bagus tetapi percayalah pasti ada sesuatu yang lebih hebat menanti anda.Jangan sesekali membiarkan perasaan kecewa menguasai diri. Anggaplah ini sebagai satu cabaran. Ingat, gagal sekali tidak bermakna gagal buat selama-lamanya.Sekian untuk kali ini. Wassalam.

Thursday, June 01, 2006

Mawi terima replika kunci Kia


KUALA LUMPUR: Kehadiran Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi memeriahkan Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2006 yang masuk hari keenam semalam.
Penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha itu hadir ke pameran yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bagi menerima replika kunci kereta Kia Optima Novus 2.0 Edisi Khas kerana kejayaannya dipilih sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 baru-baru ini.Replika kunci kereta itu disampaikan Naib Presiden Bahagian Perhubungan Korporat dan Undang-Undang Kumpulan Naza, Norashikin SM Amin. Pada anugerah itu Mawi menerima sebanyak 351,570 undian daripada pembaca akhbar Berita Harian/Berita Minggu mengalahkan pencabar terdekatnya Siti Nurhaliza yang menerima sebanyak 57,117 undian.Norashikin berkata, Mawi akan menerima kereta yang dimenanginya itu Isnin depan kerana pihak Naza Kia Sdn Bhd perlu menyerahkan borang pendaftaran kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlebih dulu.Selain itu, Mawi juga mahu kereta Kia Optima yang dimenanginya itu menggunakan nombor pendaftaran dengan angka 30, katanya.“Mawi baru saja mengisi borang pendaftaran hari ini (semalam) kerana jadual nyanyiannya terlalu sibuk hingga tiada masa untuk datang ke pejabat kami. Pihak kami akan menguruskan hal pendaftaran secepat mungkin dan cuba memenuhi hasrat Mawi yang mahukan nombor pendaftaran 30.“Sepatutnya kereta berkenaan boleh diserahkan esok (hari ini), bagaimanapun untuk nombor istimewa prosesnya mengambil masa. Kami jangka kereta itu akan dapat diserahkan kepadanya minggu depan,” katanya.Kia Optima bernilai RM125,000 berwarna putih mutiara itu adalah kereta ketiga milik Mawi. Sebelum ini Mawi pernah menerima kereta jenis Suzuki Swift kerana bergelar juara AF3 dan Proton Savvy kerana menjadi duta produk jenama itu.Mawi ketika ditemui berkata, dia menggunakan semua kereta yang dimenanginya secara bergilir-gilir. “Kereta Suzuki Swift yang saya menangi dulu berakhir dengan angka 30, kalau boleh biarlah kereta baru ini juga menggunakan nombor sama. Nombor itu tidak membawa apa-apa maksud langsung,” katanya