ANUGERAH ERA 2006
Anugerah Era yang telah diadakan sebanyak lima kali sentiasa mengundang kontroversi. Ada saja keputusannya yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.
Buat kali keenam, Anugerah Era 2006 (AE’06) akan diadakan pada 9 September depan pukul 8.30 malam di Stadium Putra, Bukit Jalil. Ia akan disiarkan secara langsung di Astro Ria dan radio Era oleh penaja rasmi utama DiGi.
Belum pun bermula, baru sahaja Era mengumumkan calon-calon yang tersenarai bagi kategori-kategori tertentu untuk undian peringkat pertama, ia telah menimbulkan tanda tanya.
Misalnya, 12 kategori yang dipertandingkan pada tahun ini memperlihatkan kebanyakan nama baru dan juga nama-nama besar dalam industri seni tersenarai. Tetapi nama pemenang tahun lepas bagi Vokal Lelaki Pilihan, Anuar Zain tidak tercalon walaupun dalam satu kategori.
Menurut Pengurus Rancangan ERA, Rostam Zulkhairi Said, setiap artis tercalon berdasarkan kepada lagu-lagu yang diputarkan oleh radio Era dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
“Pemilihan artis yang tercalon berdasarkan kepada lagu-lagu yang diputarkan dari 1 Jun 2005 hingga 31 Mei lepas.
“Memang lagu-lagu Anuar seperti Semua Untukmu dan Mungkin diputar oleh radio Era sepanjang tempoh waktu itu tetapi lagu tersebut telah dicalonkan pada tahun lepas dan kerana itu ia tidak layak dipertandingkan pada tahun ini,” kata Rostam pada majlis sidang media pertama AE’06 di Ibiza, Modesto, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pencalonan Mawi
Anugerah Era 2006 masih mengekalkan 12 kategori yang sama seperti tahun lalu, iaitu Vokal Lelaki Pilihan, Vokal Wanita Pilihan, Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan, Lagu Rock Pilihan, Lagu Pop Pilihan, Irama Global Pilihan, Lagu Nasyid Pilihan, Artis Inggeris Tempatan Pilihan, Muzik Video Pilihan, Artis Harapan Pilihan, Band Pilihan dan Pilihan Kaki Wayang.
Pencalonan peringkat pertama telah memperlihatkan Raja SMS, Mawi mendominasi tujuh kategori. Antaranya Artis Harapan Pilihan, Vokal Lelaki Pilihan, Irama Global Pilihan dan Video Muzik Pilihan.
Siti Nurhaliza sekadar mendapat tiga pencalonan iaitu Vokal Wanita Pilihan, Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan dan Lagu Pop Pilihan.
Undian peringkat pertama Anugerah Era bermula pada 15 Jun dan akan berakhir pada 15 Julai depan. Undian boleh dibuat melalui laman web era ataupun dengan mendapatkan borang undian daripada Skuad ERA Avanza.
Sementara itu, menurut Ketua Program Melayu Astro, Rozina Aziz, tema tahun ini ialah Fesyen Dalam Muzik.
“Kami telah memilih fesyen sebagai tema kali ini. Tetapi secara khususnya kami memilih Denim dan Kulit sebagai highlight AE’ 06 nanti.
“Sempena dengan AE’06 juga dua konsert akan diterbitkan. Konsert Pra Anugerah Era 2006 yang memaparkan persembahan daripada finalis-finalis AE’06 akan disiarkan pada 28 Ogos dan 2 September.
“Bagi penutup AE’ 06 pula, Konsert Gemilang Anugerah ERA akan disiarkan pada 16 September,” kata Rozina.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Rangkaian ERA, Azrullah Mohd. Nor dan Ketua Pemasaran DiGi, Yohani Yusof.







